Kesan Coronavirus terhadap Pasaran Global

Ketakutan coronavirus “berada di mana-mana sahaja” di dunia yang memberi kesan ke atas segala-galanya daripada aktiviti perniagaan hingga ke perjalanan. Impak virus pada ekonomi global adalah sangat ketara, namun, skala penuh kesannya masih belum dapat dilihat. Walau bagaimanapun, laporan mengenai peningkatan jumlah jangkitan di luar China telah memberi kesan yang ketara kepada pasaran di seluruh dunia.

Salah satu contoh utama kesan virus adalah pembatalan Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) baru-baru ini di Barcelona. MWC dianggap sebagai acara teknologi mudah alih yang paling penting di dunia dan pembatalannya, tidak syak lagi, memberi kesan kepada pengumuman perancangan dan pendedahan syarikat teknologi mudah alih pada persidangan tersebut.

Setakat ini, kira-kira 80,000 orang di seluruh dunia telah dijangkiti, dengan majoriti di China, di mana virus tersebut dipercayai berasal. Daripada jumlah yang dijangkiti, kira-kira 2,800 orang telah meninggal dunia (pada masa penulisan). Tetapi apakah langkah seterusnya? Dan bagaimanakah virus tersebut akan memberi kesan kepada ekonomi global?

Kepentingan China

China adalah ekonomi kedua terbesar dunia melalui KDNK dan tulang belakang pembuatan global. Malah, ia adalah negara terpantas yang pernah mencapai tempat kedua, dengan AS kekal sebagai pendahulu. Terdapat banyak syarikat, merentas pelbagai industri di seluruh dunia yang bergantung kepada pengeluaran Cina untuk terus beroperasi. Oleh itu, tidak hairanlah virus tersebut mempunyai kesan mendalam terhadap ekonomi global.

Sumber: The Guardian

Secara semula jadi, ini bermakna bahawa kesan virus pada pengeluaran di China telah tersebar jauh melebihi sempadan negara. Banyak syarikat antarabangsa mempunyai kemudahan pengeluaran di China, termasuk jenama fesyen seperti GAP dan Abercrombie & Fitch, syarikat gergasi telekomunikasi seperti AT&T, syarikat teknologi seperti Apple dan banyak lagi.

Kebanyakan jenama ini, seperti pengeluar barangan sukan, Nike dan Adidas juga banyak bergantung kepada pendapatan daripada penjualan runcit di China. Sebagai contoh, Nike menghasilkan 20% produknya di China dan 17% pendapatannya berasal dari jualan di negara ini.

Lebih-lebih lagi, wabak tersebut telah memberi impak perjalanan ke dan dari China, kerana banyak syarikat penerbangan telah membatalkan penerbangan ke China yang melibatkan seluruh wilayah. Malah, bilangan penumpang telah menurun sebanyak 55% berbanding tahun lepas. Ini bukan sahaja menjejaskan industri pelancongan dalam bentuk pembatalan penerbangan dan tempahan hotel, tetapi juga mengurangkan perbelanjaan pelancong di negara ini.

Ketakutan Awal

Apabila laporan virus baharu yang berbahaya muncul pada akhir Januari, pasaran pada awalnya menjadi panik. Pasaran di China, yang baru beroperasi selepas cuti Tahun Baru Cina, jatuh sebanyak 10%, disebabkan banyak indeks dan ETF menunjukkan penurunan yang dramatik. Selain itu, penutupan umum aktiviti kilang telah dilaksanakan di seluruh negara. Untuk memastikan keseimbangan pasaran, Beijing telah menyuntik $174 bilion ke dalam pasaran.

Impaknya tidak terhad kepada pasaran Asia, kerana banyak syarikat AS yang bergantung kepada kilang-kilang Cina untuk mengeluarkan produk mereka. Ini dilihat terutamanya dalam sektor teknologi, oleh sebab itu banyak syarikat berteknologi juga mengalami kejatuhan pada awal bulan Februari, menyebabkan indeks Wall Street utama turut jatuh bersama-sama mereka. Sebagai tambahan, oleh kerana China adalah pengimport minyak terbesar di dunia, emas hitam tersebut juga mengalami kesan yang besar, turun di sekitar 16%.

Bagaimanakah virus tersebut akan mempengaruhi keuntungan pada S1?

Pada pertengahan bulan Februari, Apple, salah satu syarikat terbesar di dunia, yang banyak bergantung kepada pengeluaran China, telah mengeluarkan amaran pendapatan. Menurut syarikat tersebut, penutupan kilang di China telah menjejaskan pengeluarannya sehingga kesannya tidak akan dapat mencapai sasaran pembuatannya pada S1, tahun 2020.

Apple adalah salah satu daripada banyak syarikat yang mempunyai pergantungan pada pembuatan Cina dan kemungkinan besar syarikat teknologi lain juga bakal membuat pengumuman yang sama. Beberapa syarikat berprofil tinggi lain mengeluarkan amaran yang serupa, termasuk MasterCard, Coca-Cola dan Procter & Gamble.

Emas sedang meningkat

Secara tradisinya, apabila pasaran global menurun, aset selamat akan menunjukkan keuntungan. Kali ini, jelas bahawa para pelabur berbondong-bondong memilih emas untuk melindung nilai pelaburan mereka, kerana logam berharga tersebut telah meningkat dengan harga yang sangat tinggi, mencapai tahap yang tidak pernah dilihat dalam tempoh lapan tahun lalu.

Pada pertengahan bulan Februari, emas mencapai aras psikologi sebanyak $1,600 yang penting dan terus meningkat sejak itu. Sesetengah penganalisis percaya bahawa selagi coronavirus terus memberi impak kepada pasaran, harga emas boleh terus melonjak naik di sepanjang masa dengan menghampiri $1,800, yang telah berlaku pada tahun 2011.

Kesan Masa Depan

Tidak mungkin untuk meramalkan sepenuhnya bagaimana virus tersebut akan memberi kesan kepada pasaran. Pada masa ini, pasaran terus merosot di seluruh dunia, kerana semakin banyak kes-kes virus dilaporkan di luar China, termasuk beberapa kematian yang dilaporkan di Itali.

Pada masa ini, pasaran jatuh di seluruh dunia, dengan Wall Street mengalami penurunan dramatik, dengan jumlah $1.77 trilion yang telah terpadam dari SPX500 dalam masa dua hari sahaja. Kesannya tidak terhad kepada AS dan Asia, kerana indeks UK100, GER30 dan FRA40 juga mengalami tekanan yang ketara. Minyak juga mengalami kerugian besar, jatuh jauh di bawah paras $50 dan mencapai paras harga yang tidak pernah dilihat sejak Januari tahun lepas.

Sama ada trend penurunan harga akan berterusan, masih tidak dapat dipastikan, namun para pelabur dan pedagang perlu sentiasa berhati-hati pada masa ini. Ketidaktentuan melampau mungkin sesuatu yang amat menarik, namun ia juga dapat memberikan risiko yang signifikan terhadap modal mereka.

15368 Pendapat